#htmlcaption1 Sedetik Bersama...Seabad Terasa... Pure Javascript. No jQuery. No flash. #htmlcaption2 Stay Connected

Sunday 20 April 2014

Selamat Menempuh PSPM II (Gen 14) - YDP Alumni Kolej Matrikulasi Perlis

Assalamualaikum w.b.t. dan selamat sejahtera, diucapkan kepada semua alumni dan adik-adik Generasi 14, Kolej Matrikulasi Perlis.

Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah), kini Program Pengajian Matrikulasi Sesi 2013/2014 telah sampai di penghujungnya. Untuk makluman warga Alumni Kolej Matrkulasi Perlis, adik-adik kita (Gen 14) akan menduduki Peperiksaan Semester Program Matrikulasi II (PSPM II) yang bakal bermula pada 21 April 2014 (Isnin) sehingga 29 April 2014 (Selasa).

Selaku individu yang telah melalui saat tersebut, sudah tentu kita mengetahui bahawasanya mereka pasti berdebar untuk menempuh saat-saat terakhir di matrikulasi tercinta ini.  Tambahan pula mereka sering dicabar oleh “Bonda Azuyah” selaku Pengarah Kolej Matrikulasi Perlis untuk mendapatkan purata nilai gred kumulatif (PNGK); 4.00.

Buat adik-adik (Gen 14), dalam proses perjalanan mencari makna kehidupan, saya ingin berkongsi beberapa perkara yang boleh kita jadikan pedoman bukan hanya semasa musim peperiksaan tetapi ianya signifikan sepanjang kehidupan di dunia ini.

    ·          Tenangkan diri sebelum dan semasa peperiksaan berlangsung.
    ·          Pastikan mendapat rehat yang mencukupi dan menjaga kesihatan.
    ·     Mohon maaf kepada ibu bapa, guru-guru dan rakan jika ada salah dan silap. 

Saya yakin setelah hampir setahun adik-adik (Gen 14) menjalani pengajian di matrikulasi pasti terlalu banyak lelah dan usaha yang dicurahkan untuk mencapai keputusan yang terbaik. Tetapi percayalah, lelah dan usaha itu bakal memberikan sinar kebahagiaan kepada si pengusahanya.

Ibarat seorang pendaki gunung, beliau bersusah payah dengan pendakiannya sehingga terjatuh, terluka, melecet, dan kejang tubuh badannya. Tetapi apabila sampai sahaja di puncak gunung, yang dirasai dan dilihatnya hanyalah “pelangi”. Alangkah terubat akan segala kecederaan yang dialaminya.

Mungkin tidak banyak yang boleh dilakukan pada saat akhir ini, tetapi cubalah yang terbaik dan percayalah kejayaan pasti bersama pencinta ilmu. Ingatlah PSPM II bukanlah penentu hakiki kejayaan kehidupan adik-adik tetapi menjadi insan yang mencintai masyarakat adalah pengubat kepada kesakitan alam. Tuntutlah ilmu sehingga ke akhir hayat.  

Jangan lupa, setelah tamat PSPM II nanti, rindu-rindukanlah teratak tercinta kita ini. Jangan malu dan segan untuk turut serta bersama alumni dalam memeriahkan Kolej Matrikulasi Perlis pada masa akan datang. Banyak lagi program yang akan diatur dan dijalankan untuk pelajar generasi seterusnya.

Kami dari barisan Alumni mendoakan semoga adik-adik (Gen14) berjaya dalam apa sahaja jalan yang ditempuh agar dapat kita bersama-sama menabur bakti kembali kepada teratak dan tanah air tercinta. Semoga adik-adik memenuhi permintaan "Bonda Pengarah” yang berhasrat melihat Kolej Matrikulasi Perlis berada di tempat yang pertama. Saya akhiri dengan serangkap pantun;

Berakit-rakit dahulu,
berenang-renang ketepian,
bersusah-susah dahulu,
bersenang-senang kemudian.

Selamat Maju Jaya,

Muhammad Afiq Bin Bahrom,
Yang Di-Pertua,
Alumni Kolej Matrikulasi Perlis.

No comments:

Post a Comment